ASAL USUL PERKATAAN SAKAI
Tiga ratus tahun dahulu, Parit Sakai hanyalah hutan belantara yang mempunyai dua nama iaitu “Padang” dan “Padam”.Gelaran “Padam” diberikan oleh portugis ketika menjajah kawasan berkenaan selepas era kerajaan Melayu Melaka.Pada zaman penjajahan Portugis, penduduk tempatan yang memanggil kawasan itu “Padang” telah meninggalkan kawasan tersebut kerana takut kepada serangan penjajah berkenaan.
Bagaimanapun, selepas Belanda berjaya menewaskan Portugis pada tahun 1641, kerajaan itu bersetuju untuk membuka semula “Padang” dengan pembukaan parit-parit di sekitar kawasan berkenaan.
Parit yang pertama dibuka dikawasan padang ialah Parit Sakai oleh sekumpulan orang daripada Merlimau,Melaka yang diketuai oleh Tok Makmon pada tahun 1702.Mereka menggali parit menggunakan cangkul bermula daripada laut. Mereka datang ke padang dengan membawa bekalan makanan, pakaian dan ubat-ubatan. Namun, terdapat perkara yang menghairankan apabila barangan bekalan mereka didapati hilang dan ia amat merunsingkan Tok Makmon. Disebabkan itu, beliau memanggil orang asli yang tinggal di tepi laut & bertanyakan berkaitan barang yang hilang itu. Orang asli tidak mengaku bahawa mereka yang mengambilnya, oleh sebab itu Tok Makmon memberi amaran kepada mereka, jika mereka tidak memulangkan barang-barang tersebut dalam masa 3 hari, mereka akan dibunuh.
Tepat pada tempoh itu, orang asli tadi memulangkan semula semua barangan yang dicuri kepada Tok Makmon. Tok Makmon memberi amaran sekali lagi kepada mereka supaya jangan menyakai(Bahasa melayu lama) yang bermaksud mencuri. Sejak daripada itu, tempat ini dinamakan Parit Sakai.


“Sejarah awal kewujudan Kampung Parit Sakai diceritakan bekas Pengerusi Kaji Sejarah Daerah Muar, Khamis Junid.”
